Translate

Mesti Baca

Ahad, 5 Januari 2014

Jangan Terpedaya Provokasi Kalimah Allah.

Abdul Hadi Awang
Haji Hadi

Pas mengingatkan ahli, penyokong dan rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif yang cuba ditimbulkan pihak tertentu dalam penggunaan kalimah ALLAH.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sekiranya perkara ini digembar-gemburkan, dikhuatiri rakyat akan terlupa dengan isu kenaikan harga barang pada tahun ini yang kian membebankan golongan berpendapatan rendah.

“Pas berasa sangat dukacita sekiranya isu ini (kalimah ALLAH) diperhangatkan sehingga rakyat lupa kepada masalah keperitan hidup angkara kenaikan harga barang pada tahun 2014 ini.

“Isu penggunaan kalimah ALLAH ini perlu disantuni dengan ilmu Islam, berdasarkan disiplin ilmu yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah dan bukannya menerusi kekerasan apatah lagi menggunakan undang-undang yang dipaksakan semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Paderi Lawrence, yang merupakan Pengarang mingguan The Herald dilaporkan sebagai berkata bahawa gereja-gereja di Selangor akan terus menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk sebagai Tuhan dalam perhimpunan mingguan.

Kenyataan beliau telah menimbulkan bantahan daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam, termasuk ahli-ahli Umno Selangor.

Isu itu berlaku selepas pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu dan merampas 351 salinan naskah Bible versi Bahasa Malaysia dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) pada Khamis lalu.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mengingatkan umat Islam supaya memberi mengutamakan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa dan agama ini.

Menurutnya, dalam isu kalimah ALLAH itu, umat Islam perlu memberi kefahaman yang sewajarnya kepada masyarakat bukan beragama Islam berdasarkan pendekatan ilmu.

“Tugas kita untuk menunjukkan contoh teladan bahawa Islam adalah pembawa rahmat ke seluruh alam, sebagaimana yang dinyatakan oleh ALLAH SWT.

“Pas akan terus melaksanakan dakwah dan politik Islam dengan berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catatan Paling Popular

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...