Translate

Mesti Baca

Rabu, 20 November 2013

Siapa Bakal Terpilih...!!!!!!

Tinggal 48 jam sebelum pemilihan pusat PAS, persaingan antara dua calon timbalan presiden parti Islam itu masih sukar ditentukan kelebihan memihak kepada siapa, dalam pertembungan yang diibaratkan umpama 'buku bertemu ruas'.

Penyandang Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah, masing-masing tidak dapat mendabik dada sudah benar-benar selamat. Bahkan, dijangka, yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua.

Menurut sumber-sumber PAS, keputusan pemilihan bergantung kepada undi menyokong Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa yang dianggap mempunyai kuasa penentu.

Sokongan yang diperoleh mereka di peringkat kawasan perlu diambil kira memandangkan kedua-duanya memperolehi jumlah pencalonan tertinggi daripada Mohamad dan Nik Amar.

Masih tidak jelas undi itu akan pergi ke mana. Bagaimanapun, ia dilihat bergantung kepada hubungan kedua-dua calon dengan Tuan Ibrahim dan Husam.

Satu versi menyatakan, Mohamad mempunyai kelebihan berdasarkan hubungan 'tidak mesra' Nik Amar-Husam akibat politik dalaman PAS Kelantan dan kerajaan negeri.

Kedua-dua mereka pernah menjadi exco yang sama-sama berpengaruh bawah pimpinan tokoh terpenting PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum ini.

Bagaimanapun, hubungan Mohamad dan Husam juga mempunyai sejarah 'calarnya' sendiri apabila sama-sama berentap pada 2009 untuk jawatan sama dalam pertembungan tiga penjuru dengan bekas timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa.

Mohamad dan Husam walaupun dianggap satu aliran, masing-masing gagal berkompromi - situasi yang memberikan kelebihan kepada Nasharuddin, calon proulama ketika itu.

Trend 4 tahun pemilihan
Sementara itu, di atas kertas, trend pengundian sejak empat tahun lalu tidak menyebelahi Mohamad yang hanya mendapat sokongan satu pertiga daripada lebih 1,000 perwakilan pada 2011.

Pada 2009, Mohamad tewas dengan sokongan terendah 261 undi, Husam (281 undi) dan Nasharuddin 480 undi. Perpecahan undi Mohamad dan Husam menjadi punca kekalahan kumpulan profesional.

Dalam pemilihan dua tahun berikutnya, trend sebaliknya pula berlaku apabila Mohamad - calon tunggal kumpulan profesional - menang tipis akibat perpecahan undi kumpulan ulama.

Mohamad menang jawatan timbalan presiden dengan 420 undi berbanding Tuan Ibrahim Tuan Man (399) dan Nasharuddin (224).

Berdasarkan angka itu, bermaksud Mohamad gagal mendapat sokongan bulat penyokong Husam selepas dua tahun.
Bahkan, kumpulan ulama menambah penguasaan mereka daripada 480 undi pada 2009 kepada 624 (gabungan undi Tuan Ibrahim dan Nasharuddin) pada 2011.

Ini menyebabkan Mohamad, walaupun mempunyai kelebihan penyandang, tetap tidak senang duduk.

Namun begitu, telahan ini hanya akan menjadi kenyataan dengan mengandaikan faktor-faktor lain tidak berubah. Tetapi itu tidak mungkin.

Menilai daripada aspek aktivisme dan kepimpinan, Mohamad dilihat lebih ke hadapan memimpin massa dalam isu-isu penting, antaranya melalui demonstrasi BERSIH dan Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka.

Beliau juga dilihat sebagai tokoh nasional berbanding Nik Amar yang hanya dikenali di peringkat negeri walaupun turut menganggotai jawatankuasa Pusat PAS.

Malah, kewujudan kumpulan-kumpulan dalam PAS Kelantan, yang Mohd Amar dianggap antara pemain utamanya, tidak menjanjikan kelebihan kepada ADUN Panchor itu.

Korban perjuangan sendiri?

Mohamad juga menyandarkan harapan kepada populariti sebagai pemidato 'bersuara emas' PAS dan aktivismenya yang menyaksikan beliau turun naik mahkamah dan ditahan bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) sebelum ini.

Manakala Nik Amar pula menyandarkan peluangnya kepada berpengalaman dalam kerajaan negeri yang diberi kepercayaan oleh Nik Aziz, termasuk mengantikan kuliah mingguan mursyidul am PAS itu.

Statusnya sebagai anak 'tok guru Nik Lah' yang memperoleh sarjana dalam bidang teologi di Birmingham, United Kingdom itu juga dilihat mempengaruhi keputusan pengundian Jumaat ini dalam parti berteraskan agama itu.

Nik Amar juga tidak dihantui kontroversi di peringkat nasional berbanding Mohamad yang masih berhempas pulas menepis tuduhan berfahaman Syiah dan isu khalwatnya lama dahulu, walaupun mahkamah telah membebaskannya.

Semua ini sudah tentu akan dipertimbangkan perwakilan bagi menentukan masa depan PAS, termasuk hubungan dalam Pakatan, prospek untuk pilihan raya umum ke-14 dan arah tuju parti dalam keadaan trend politik yang makin melampui sentimen.

Sesiapa pun yang menang pasti akan memainkan peranan besar menentukan semua ini, terutamanya ikatan PAS dalam Pakatan yang terbukti berhasil sejak awal kerjasama pada 2008.

Persoalannya, antara budaya aktivisme dan kepimpinan ulama, pihak manakah yang benar-benar diperlukan PAS buat masa ini?

Tetapi, jika Mohamad tewas, keputusan itu pastinya ironi sekali di mata penganalisis.

Mohamad, 30 tahun lalu antara tokoh yang paling terkedepan memperjuangkan kepimpinan ulama. Dan 30 tahun kemudian, adakah beliau akan menjadi korban perjuangannya sendiri?

Catatan Paling Popular

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...