Translate

Mesti Baca

Ahad, 8 Disember 2013

Perhimpunan Agung Umno Atau Perhimpunan Agung Rosmah : Selepas Pewakilan, Bila Najib Pula Puji Beliau.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor disertai ahli Majis Tertinggi Umno memotong kek sempena ulang tahun Umno ke-67 di PWTC, Kuala Lumpur. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 7 Disember, 2013.
Siapa sebenarnya Presiden Umno, sampai berebut-rebut nak pegang pemotong kek dengan Rosmah.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak hari ini memuji isterinya Datin Seri Rosmah Mansor secara terbuka kerana “jasanya” kepada negara.

Dalam ucapan penggulungannya semasa Perhimpunan Agung Umno 2013, Najib memberikan dua contoh pengorbanan Rosmah kepada negara.

“Saya tak pernah berkongsi tentang ini sebelum ini. Apabila salah seorang pelajar kita ditahan di Mesir kerana dituduh sebagai perisik, isteri saya menelefon isteri Presiden Hosni Mubarak (Suzanne Mubarak) dan dalam masa dua jam pelajar itu dibebaskan.

“Bukan itu sahaja, semasa Ops Piramid di mana pelajar kita tersekat di Mesir semasa kebangkitan Arab, melalui hubungannya, kerajaan Saudi menyediakan dua pesawat Jumbo dan bawa pelajar kita ke Riyadh, walaupun mereka tidak mempunyai visa ke Arab Saudi.

"Mungkin malam ini akan dapat bayaran," kata perdana menteri secara berseloroh disambut dengan gelak tawa hadirin.

Rosmah dikritik bulan lalu kerana menggunakan jet eksekutif kerajaan untuk lawatan peribadinya ke Timur Tengah.

Dalam ucapan itu juga, Najib mengumumkan bantuan RM500 bagi setiap keluarga yang terjejas akibat banjir serta meminta pihak bank memberi penangguhan bayaran bulanan sementara kepada mereka.

“Saya selaku menteri kewangan minta semua bank untuk menangguhkan pembayaran balik sementara waktu.

“Saya tahu susah payah dan penderitaan mereka. Sebagai tanda kasih dan keprihatinan kerajaan maka saya umumkan pembayaran RM500 kepada keluarga yang terlibat dalam banjir.

Najib turut menceritakan penghargaan pemimpin Fatah dan Hamas yang ternyata kagum dengan cara Umno membangunkan negara.

“Saya nak kongsi dengan perwakilan apa yang mereka beritahu kepada saya dalam pertemuan tertutup. Pertama, Dr Abdullah dari Fatah berkata Malaysia di bawah kepimpinan Umno adalah inspirasi kepada negara dunia Islam.

“Seorang lagi, Khalid Meshaal dari Hamas mengakui mereka lebih rapat dengan PAS tetapi hari ini kami akui perjuangan Umno berada di landasan yang betul. Beliau berkata Malaysia perlu berbangga kerana menjadi contoh negara Islam,” katanya.

Najib berkata, pembangunan ekonomi Bumiputera perlu diteruskan kerana kaum majoriti di Malaysia terdiri daripada kumpulan itu yang seharusnya mendapat pembelaan sewajarnya.

Katanya, program pembangunan ekonomi Bumiputera selama ini tidak pernah menutup rezeki kaum lain dan hal itu terbukti semasa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Kalau dikira daripada segi prinsip keadilan sosial, 67% dalam negara terdiri daripada kaum Melayu dan Bumiputera. Sesetengah negara, sesuatu dasar itu dibuat bagi melindungi kaum minoriti kerana tidak mahu mereka dipinggirkan tetapi negara kita kalau majoriti terpinggir lebih parah.

“Demi keadilan sosial dan kestabilan jangka panjang, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera mesti ditingkatkan supaya lebih seimbang. Ini hak kita.

“Bila masa kaum lain terbantut dalam negara kita? Semasa DEB, adakah mereka terpinggir? Adakah rezeki mereka terputus? Terbukti kerajaan pimpinan Umno, adil kepada semua kaum,” katanya.

Presiden Umno itu turut menggesa rakyat agar memahami tindakan kerajaan menurangkan subsidi demi mengukuhkan ekonomi negara setelah ekonomi negara pernah diramalkan berada dalam unjuran negatif.

“Agensi penilaian dah berikan isyarat tetapi bila kita berani ambil ubat seperti naikkan harga minyak, hapuskan subsisi gula, naikkan tarif elektrik. Kita sekarang dalam unjuran positif. Jika diteruskan usaha mengawal fiskal, gred boleh dinaikkan.

“Penarafan itu penting. Kesihatan ekonomi kita. Bila ekonomi sudah tegap, kita boleh tambah peruntukan luar bandar sebab mereka kekuatan teras Umno dan Barisan Nasional (BN). Saya tak lupa,” katanya.
Najib turut meminta penjawat awam memahami kedudukan kerajaan yang terpaksa berbelanja besar untuk memberikan bonus.

“Setiap tahun nak bonus. Paling ditunggu dalam bajet tahunan adalah bonus. Kalau tiada bonus, bajet tak baik. Itu pengiraan mereka. Jika sebulan bonus, RM5.6 bilion, setengah bulan RM2.6 bilion.

“Ini sakit jangka pendek. Tak sakit sangat. Kita jentik sikit sahaja tetapi kesihatan ekonomi lebih bertambah,” katanya.

Muhyiddin semasa perhimpunan itu turut mengumumkan satu kajian berhubung kaedah pembayaran semula Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) agar mereka yang tidak mendapat ijazah kelas pertama juga layak mendapat pengurangan bayaran.

“Saya ingin menyatakan bahawa proses ini sudah bermula dan kajian terperinci dibuat. Ada beberapa perkara yang akan kita kemukakan kepada kerajaan termasuk cara bayaran balik.

“Ada yang meminta satu kajian kepada mereka yang mendapat ijazah kelas pertama sahaja layak diberikan potongan atau biasiswa. Sebaliknya, pencapaian Bumiputera yang lain boleh diambil kira sebagai galakan kepada mereka,” katanya.

Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan turut memberi jaminan bahawa sistem akses Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan mampu dipulihkan menjelang April 2014.

“PBS menyebabkan sebahagian besar guru menghadapi masalah.Saya memberi jaminan perkara ini akan diatasi sebaik-baiknya.

“Langkah sudah pun bermula. Saya mengarahkan kementerian membaiki sistem akses dan saya jangka April 2014 ia akan dilaksanakan dengan lebih berkesan supaya tidak membebankan guru seluruh negara,” katanya.Sumber

Tiada ulasan:

Catatan Paling Popular

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...