Translate

Mesti Baca

Ahad, 21 April 2013

PRU13 : Dari 1 Penjuru Sehingga 7 Kerusi.


Saingan DUN
 
 Saingan PARLIMEN

Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) menyaksikan 452 pertandingan satu lawan satu dan 275 pertandingan berbilang penjuru membabitkan kerusi dewan undangan negeri (DUN) dan parlimen, dengan kerusi Parlimen Kalabakan dan DUN Sulabayan di Sabah merekodkan pertandingan tujuh penjuru masing-masing.
  
Tidak seperti pilihan raya umum ke-12 yang menyaksikan penguasaan pertarungan satu lawan satu kecuali di Sabah, kali ini pertandingan berbilang penjuru dominan di seluruh negara dengan penyertaan calon Bebas dan parti seperti Berjasa, Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama), Parti Cinta Malaysia (PCM).
  
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya, Sabah masih mengatasi negeri lain dengan merekodkan 36 pertandingan empat penjuru termasuk 23 peringkat DUN.
  
Di Semenanjung, Selangor paling banyak mencatatkan pertandingan berbilang penjuru dengan kerusi Parlimen Kapar dan DUN Kota Damansara serta Kajang masing-masing menyaksikan pertandingan enam penjuru, selain pertembungan lima penjuru di lima kerusi DUN lain.
  
DUN Sidam di Kedah dan Machang Bubuk di Pulau Pinang, masing-masing ditandingi enam calon, manakala di Perak mencatatkan 19 kerusi menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Akan tetapi, PRU13 tidak dapat mengatasi rekod 2008 yang mencatatkan pertandingan lapan penjuru, masing-masing di kerusi DUN Tanjung Kapor dan Sukau di Sabah.
  
Pertandingan berbilang penjuru bukan sahaja sengit tetapi juga melibatkan calon muka lama, orang kuat parti dan juga 'orang kerdil' atau individu yang kurang dikenali.
  
Turut memeranjatkan apabila orang kuat BN Sabah, Datuk Abdul Ghafur Salleh yang menang tanpa ditandingi di kerusi Parlimen Kalabakan pada 2008, kali ini dicabar enam calon iaitu Malvine Reyes (STAR), Usman Madeaming (PAS) dan empat calon Bebas -- Mohd Manuke, Freedie Japat Anak Simol, Yahya Zainal serta Siamsir Borhan.
  
Di DUN Sulabayan, calon BN yang juga muka baharu Datuk Jaujan Sambakong turut berdepan enam lagi calon.
  
DUN Kajang membabitkan pertandingan enam penjuru iaitu Lee Ban Seng (BN), Lee Chin Cheh (PKR), Mohamad Ismail (Berjasa) dan calon Bebas Ong Yan Foo, Mohd Khalid Kassim serta Mohd Iwan Jefry Abd Majid.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands turut menjadi tumpuan dengan pertandingan lima penjuru membabitkan calon BN Datuk Seri G. Palanivel yang juga Presiden MIC, M. Manogaaran (DAP), Mohd Shokri Mahood (Berjasa) dan dua calon Bebas iaitu T. Alagu serta K. Kisho Kumar.  
  
Kerusi Parlimen Seremban juga menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan calon BN Datuk Yeow Cha Thiam berdepan Loke Siew Fook (DAP), Abdul Halim Abdullah (Berjasa) serta dua calon Bebas iaitu John Fernandez dan Bujang Abu. Fernandez merupakan penyandang dan menang kerusi itu pada 2008 atas tiket DAP.
  
Kerusi Parlimen Subang juga membabitkan lima penjuru antara penyandang R. Sivarasa (PKR), Pakas Rao Applanaidoo (BN), Edros Abdullah (Bebas), Mohamad Ismail (Berjasa) dan Nazaruddin Mohamed Ferdoos (Bebas).
  
Calon BN bagi kerusi Parlimen Alor Setar yang juga penyandang, Datuk Seri Chor Chee Heung, berdepan tiga lagi calon iaitu Gooi Hsiao Leung (PKR), Abdul Fisol Mohd Isa (Berjasa) dan Jawahar Raja Abdul Wahid (Bersama).
  
Di Kuala Lumpur, dua kerusi panas iaitu kerusi Parlimen Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak menyaksikan pertandingan tiga dan empat penjuru masing-masing.
  
Di Lembah Pantai, calon BN Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menentang penyandang Nurul Izzah Anwar (PKR) dan calon Bebas Rusli Baba.

Bandar Tun Razak pula menyaksikan penyandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicabar calon BN Tan Kok Eng dan dua calon Bebas iaitu Mohamad Sukeri Abdul Samat dan Mokhtar Salahudin.
  
Kerusi Parlimen Bagan yang ditandingi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula berdepan pertandingan tiga penjuru dengan calon BN Chau Teik Siang dan Lim Kim Chu (PCM).
  
Dalam pada itu, beberapa kerusi panas lain hanya membabitkan pertandingan satu lawan satu termasuk di Gelang Patah antara orang kuat DAP Lim Kit Siang dan orang kuat BN Johor Datuk Abdul Ghani Othman.
  
Sementara itu, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim bertindak di luar semangat kepartian apabila bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar menentang dua lagi iaitu Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad (BN) dan Khalil Idham Lim (PAS). -  Bernama

Tiada ulasan:

Catatan Paling Popular

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...