Translate

Mesti Baca

Selasa, 23 April 2013

Analisis PRU13: Apa Pun Ketentuan Pendokong Islam Diajar Berusaha Dan Berdoa. Kekalahan Sudah Sebati Pada PAS, Bagaimana Pula BN Menghadapinya.

 

Datuk Mustapa Mohamed mensasarkan BN menguasai 23 kerusi Dun dan lapan parlimen di Kelantan kali ini. Ketua Umno Jeli itu mahu mengulangi sejarah 2004, juga ketika Kelantan berada di bawah pengaruhnya.

Pada 2004 PAS menguasai 23 kerusi Dun dan BN pula 22 kerusi. Dun Kelantan mempunyai 45 kerusi Dun.

Seorang rakan pengamal media di Kuala Lumpur juga meluahkan rasa bimbang. Katanya dikhuatiri ketika di tempat lain orang bercakap menuju ke Putrajaya, sebaliknya sokongan di Kelantan pula merosot.

Mungkinkah andaian itu dicetus berpandukan kepada teori ayunan. Asasnya pada PRU 2008, pembangkang berada di atas dan BN di bawah. Sebelum itu pada PRU 2004, BN berada di kemuncak dan pembangkang pula di bawah.

Kalau disusuri lagi, pada 1999 pembangkang mengatasi BN dengan ledakan isu reformasi. Sebelum itu pada PRU 1995, BN juga cemerlang dan pembangkang pula merosot.

Bekas pensyarah Sains Politik UKM, Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latiff bimbang sekiranya situasi itu berulang dengan kehadiran teori ayunan atau fenomena zig-zag.

“Pilihan raya kali ini musim BN naik dan pembangkang turun. Kalau ditengok kepada sejarah dan kajian politik, keadaan itu boleh berlaku.

“Kebimbangan ini ada asasnya. Namun ia tidak semestinya menjadi kenyataan kalau ada momentum lain yang tidak diduga. Ayunan semula itu hanya dapat ditahan apabila dengan adanya sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Luar biasa itu mungkinkah peristiwa seorang bekas Menteri Besar mengisytiharkan menyertai PAS. Tan Sri Muhd Muhammad Taib membuat kejutan besar dengan menyertai PAS.

Luar biasa juga apabila Naib Ketua Wanita Umno Malaysia, Dato’ Kamilia Ibrahim juga meninggalkan Umno. Begitu juga Naib Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ng Yen Yen juga dicicirkan daripada senarai calon.

Namun Dr Amer Saifude Ghazali dari UM melihat faktor persempadanan pilihan raya menjadi asas kepada teori zig-zag. Setiap kali berlaku persempadanan kawasan pilihan raya pastinya manfaatnya berganda untuk BN.

Persempadanan pilihan raya berlaku pada PRU 1958, 1974, 1986, 1995 dan 2004. Pada PRU 1974 BN mendapat sokongan 60.7 peratus, 1986 (57.2 peratus), 1995 (65.1 peratus) dan 2004 (63.8 peratus).

Namun berbeza pada PRU 13 kerana tidak berlaku persempadanan. Ini kerana ia memerlukan sokongan majoriti dua pertiga. Sepatutnya proses persempadanan berlaku pada 2010.

Mengikut peraturannya setiap lapan hingga 10 tahun persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan. Mungkinkah halangan ini yang boleh menyelamatkan Pakatan Rakyat.

Faktor Perdana Menteri baru

Bagaimanapun berdasar kepada kajian, faktor Perdana Menteri baru juga satu dominan yang boleh menarik sokongan rakyat.

Buktinya pada PRU 2004 berlaku lonjakan luar biasa terhadap BN selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi mengetuai jentera BN. Beliau mengambil alih jawatan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003. Dan PRU ke-11 diadakan pada 21 Mac 2004.

Begitu juga pada PRU 1982, BN berada di situasi selesa selepas Dr Mahathir menduduki kerusi perdana menteri menggantikan Tun  Hussien Onn. Pada PRU 1974 BN mendapat mandat besar selepas Tun Abdul Razak Hussein menggantikan Tunku Abdul Rahman pada 1971.

Tun Abdul Razak juga mengambil tempoh sehingga kira-kira tiga tahun untuk membubarkan parlimen bagi mendapatkan mandat rakyat. Keadaan darurat pada 1969 menyebabkan tempoh lebih panjang diambilnya bagi membubarkan parlimen.

Natijahnya beliau berjaya mempengaruhi PAS dan Gerakan menyertai BN sebelum diisytiharkan PRU 1974.

Namun berlainan dengan apa yang berlaku sekarang. Dato’ Seri Najib Razak mengambil tempoh sehingga empat tahun selepas menduduki kerusi Perdana Menteri sebelum membubarkan parlimen.

Sedangkan sekarang keadaan negara aman. Cuma seperti apa diakui Najib beliau mahu menyerapkan segala bantuan atas nama kerajaan ke jiwa rakyat.

Inilah yang dinamakan sebagai propaganda politik. Ia merupakan satu bentuk komunikasi politik yang berpusat kepada ideokultur moden. Maka ini juga yang dicuba Najib apabila menjenamakan semua perkara atas platform 1Malaysia.

Dipropagandakan bantuan atas nama 1Malaysia mendatangkan kemakmuran kepada rakyat.

Maka dicetusnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM500, baucer buku 1Malaysia (RM250) dan pelbagai lagi bantuan kewangan lain. Propaganda ditusuk kepada minda dan jiwa rakyat kerajaan BN bermurah dan membela rakyat.

Kemudian politik ugut pula disemarakkan. Persoalannya mampukah mesej propaganda itu memberi kesan kepada rakyat.

Kalau itulah perkiraan mengapa ada penerima memakai simbol protes ketika datang mengambil BR1M di hadapan pemimpin Umno.

Simbol R

Di Kelantan simbol R sebagai lambang protes terhadap keengganan kerajaan pusat membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri. Sebaliknya royalti yang ditukar wang ihsan diberi pula kepada pemimpin Umno yang menguasai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Keberanian itu dijelmakan rakyat. Dan bukan lagi mereka datang mengangguk-angguk kepala dan berterima kasih kepada Najib sehingga dijelmakan di kertas undi. Tidak semestinya begitu.

Bagaimanapun ada penerima Rumah Mesra di bawah program pusat, sudah beralih angin. Tidak berani lagi datang ke masjid, surau atau program PAS. Begitu juga angkara BR1M menyebabkan ada penduduk kampung mulai menikus.

Biar apa pun Najib perlu merenungi semula rekodnya dibanding Tun Razak, Dr Mahathir dan Abdullah. Sejarah awal mereka ketika mula menduduki kerusi Perdana Menteri situasinya berbeza. Abdullah pernah dianggap sebagai Mr Clean di awal pentadbirannya.

Sebaliknya Najib menduduki kerusi nombor satu itu dengan wajah muram. Tan Sri Muhyiddin Yassin antara pendesak yang membuatkan Abdullah lebih awal meninggalkan Putrajaya.

Berdasar kepada senario tersebut mampukah Mustapa mencapai apa yang diimpikan. Tarikh 5 Mei ini adalah ibu segala hari. Sumber

Tiada ulasan:

Catatan Paling Popular

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...