Translate

Mesti Baca

Rabu, 6 Mac 2013

Bekas Jeneral: Ketumbukan Tentera Negara Mempunyai Kekuatan Untuk Menangani Penceroboh Dengan Singkat.


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat pencerobohan Lahad Datu oleh kumpulan bersenjata, sepatutnya boleh ditangani dengan segera.

Menurutnya, berdasarkan penerangan bekas-bekas jeneral kanan tentera yang menyertai PKR, beliau percaya ketumbukan tentera Malaysia mempunyai kekuatan untuk menangani pencerobohan itu dalam masa yang singkat.

"Perkara ini boleh ditangani dengan segera kerana saya percaya dengan kapasiti pasukan keselamatan kita.

"Dan kami (PKR) beruntung kerana kita mendapat penerangan dari bekas jeneral kanan askar yang menerangkan keadaannya dan kemungkinan ia boleh ditangani dengan pantas," katanya dalam sidang media selepas satu forum anjuran pejabat beliau di Kuala Lumpur petang semalam.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil sikap "bersedia dan tegas" dalam dasar keselamatan mereka.

"Apabila berurusan dengan kumpulan militan, kerajaan perlulah bersedia dan tegas.

"Itu sewajarnya telah jelas dalam polisi keselamatan kita," katanya sambil menambah bahawa rakyat Malaysia kini bukan menentang orang Sulu tetapi sebaliknya mereka menentang penceroboh bersenjata.

Beliau turut menyeru agar isu pencerobohan yang merupakan isu keselamatan negara tidak dikaitkan dengan isu pilihan raya.

"Saya lebih gemar mengasingkan isu berkaitan keselamatan nasional ini daripada isu pilihan raya," katanya.


Jurucakap kesultanan Sulu nafi Azzimudie terbunuh

Kesultanan Sulu menafikan laporan akhbar Malaysia bahawa Azzimudie Kiram, yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu, telah terbunuh dalam serangan pasukan keselamatan Malaysia pagi ini.

Menurut InterAksyon.com, portal berita dalam talian saluran TV Filipina TV5, jurucakap kesultanan Abraham Idjirani telah bercakap dengan Azzimudie melalui telefon di hadapan pemberita semasa taklimat media di Manila petang ini.

"Datu Raja Muda (Azzimudie) dan para pengikutnya semua masih hidup," Idjirani dipetik sebagai berkata.

Beliaumengumpamakan Azzimudie "seperti musang", kerana dia sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mengelakkan pasukan keselamatan Malaysia.

Utusan Malaysia, dalam SMS berita petang ini, memetik sumber tentera sebagai berkata Azzimudie dipercayai telah terbunuh dalam serangan udara hari ini.


Presiden Filipina syak seteru dalangi konflik di Sabah

Presiden Filipina Benigno Aquino III mengesyaki pemimpin parti lawannya, bekas presiden Gloria Macapagal-Arroyo, berperanan dalam konflik di antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah.
Laporan Philippine Daily Inquirer hari ini menyebut Aquino dalam satu ucapan disiarkan televisyen, disertai pemimpin Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM), berkata pihak berkuasa sedang "membina" kes tersebut.

Aquino berkata bukti mengenai penglibatan orang yang didakwa berkonspirasi dengan penceroboh terbabit kini sedang berkumpul.

Ditanya mengenai penglibatan Arroyo, presiden tersebut dilaporkan berkata laporan risikan menunjukkan identiti orang yang berkonspirasi itu, namun tidak memberi "bukti yang diperlukan di mahkamah".

Philippine Daily Inquirer juga melaporkan, keluarga Sultan Sulu Jamalul Kiram III menafikan bekerjasama dengan pengkomplot terbabit dan mencabar pihak berkuasa Filipina untuk membuktikan dakwaan tersebut.

"Kesemua ini hanya dakwaan. Buktikannya. Kami cabar mereka untuk membuktikannya," kata Puteri Jacel Kiram, anak kepada sultan tersebut, dalam satu sidang media.

Sementara itu, Aquino turut menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan warga Filipina yang bekerja dan tinggal di Sabah dan memberi amaran kepada penceroboh bersenjata itu bahawa mereka "tidak akan berjaya".

Pertentangan yang masuk minggu ketiga itu setakat ini mengorbankan lapan anggota polis Malaysia dan 19 penceroboh dalam pertempuran di Kampung Tanduo dan Semporna, manakala satu lagi kumpulan bersenjata dipercayai mendarat di Kunak.

Krisis itu memuncak hari ini apabila pasukan keselamatan Malaysia melancarkan serangan di Kampung Tanduo pada jam 7 pagi, bermula dengan serangan undara. Mkini

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bayarlah yang setimpal dengan nilai dollar $5300 tahun 1906, bukan hanya RM5300 setahun.

On 22 April 1903 His Majesty Sultan Jamalul Kiram signed a document known as "Confirmation of cession of certain islands", under what he either grant and ceded or leased additional islands in the neighbourhood of the mainland of North Borneo from Banggi Island to Sibuku Bay to British North Borneo Company. The sum 5,000 dollars a year payable every year increased to 5,300 dollars a year payable every year.

http://bruneiresources.blogspot.com/2012/08/british-trade-dollar-in-brunei.html

Kalau $1 tahun 1906 = RM300. Maka $5300 x RM300 = RM 1 590 000.

Setara dengan gaji sultan serta kerabat melayu. Dapatlah mereka menjaga kebajikan keluarga mereka yang besar.

http://www.erapasca.com/2012/11/gempar-gaji-agung-perdana-menteri.html

Jangan dikhianat perjanjian.

Catatan Paling Popular

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...