Translate

Mesti Baca

Rabu, 9 November 2011

Semoga Najib Dapat 'Haji Mabrur' Dan Lakukan PRU13 Dengan Pembaharuan.


Di sebalik desas-desus pilihan raya umum dipanggil dalam waktu terdekat, PAS berharap semoga perubahan dapat dilihat pada diri Datuk Seri Najib Razak selepas mendapat haji mabrur termasuk memastikan pilihan raya umum ke-13 adalah yang bersih dan adil dengan memenuhi janji tuntutan pembaharuan.

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen dengan sembilan anggota diberi enam bulan untuk mengkaji sistem pilihan raya negara ini.

Spekulasi semakin rancak pilihan raya umum ke-13, yang pertama di bawah kepimpinan Najib selaku Perdana Menteri, akan dipanggil dalam waktu terdekat sebaik sahaja beliau pulang ke tanah air selepas menunaikan haji. Pun begitu sesetengah penganalisis dan pemimpin parti politik menjangkakan ia hanya akan dipanggil pada suku pertama tahun depan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, partinya mendoakan agar seluruh jemaah haji termasuk Najib telah mendapat haji mabrur kerana itu yang menjadi cita-cita setiap orang yang mengerjakan haji.

“Haji mabrur yang dijanjikan oleh Rasulullah ialah haji mabrur tiada balasan lain di sisi Allah, melainkan syurga,” kata beliau sambil menambah, “inilah cita-cita yang mendorong setiap umat Islam menunaikan haji selain ia sebagai rukun Islam.”

Pesuruhjaya PAS Pahang ini menambah, haji mabrur yang mengubah amalan seseorang dari sebelum mengerjakan haji dan selepasnya, dengan kata lain, mereka yang memperolehi haji mabrur dapat dilihat perubahan amalan sehariannya, daripada yang kurang baik kepada baik dan lebih baik.

Najib yang juga Presiden Umno merupakan sebahagian daripada tiga juta jemaah yang menunaikan haji, salah satu rukun Islam, kali ini.

Tuan Ibrahim berkata, dalam erti kata lain, rakyat menaruh harapan tinggi dan menanti perubahan yang bakal dihayati oleh Perdana Menteri dan isterinya dalam melaksanakan amanah memimpin negara ini.

Menurut beliau, antara agenda besar yang rakyat ingin lihat hasil daripada mendapat haji mabrur sudah tentulah tindakan susulan Najib terhadap banyak penyelewengan sama ada daripada kroni Umno dan serta pelbagai pihak lain yang terlibat yang memperolehi pelbagai projek seperti yang ditegur oleh Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya baru-baru ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan pada 24 Oktober lalu juga mendapat perhatian banyak pihak khususnya pembangkang yang mengkritik siri kelemahan pentadbiran Najib. Najib mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri pada April 2009.

“Rakyat benar-benar kecewa setiap tahun bila mana teguran Laporan Audit Negara langsung tidak menjadi bekas bagi kerajaan BN dalam usaha untuk memperbaiki pengurusan kewangan negara.

“Kalau tahun lalu, mungkinlah masih tak sedar kerana masa tersebut, Perdana Menteri tak pergi haji lagi,” kata Tuan Ibrahim.

Namun tahun ini, kata Tuan Ibrahim, sudah tentu tidak akan sama kerana Naib yang baru menunaikan haji dengan semangat melontar “jumrah sehebat melontar sifat mazmumah dalam diri, sudah pasti akan membawa pelbagai perubahan sama ada dalaman dan luaran, kerana ia antara tanda-tanda haji mabrur.”

Lebih besar dari itu, tambah beliau, rakyat yakin Najib akan hanya mengadakan pilihan raya setelah segala penyelewengan sistem pilihan raya dapat diperbaiki.

“Mana mungkin mereka yang dapat haji mabrur sanggup mengadakan pilihan raya dengan penipuan, ketidakadilan dan daftar pemilih yang tidak bersih?

“Bahkan, demi membuktikan kesan haji mabrur, Perdana Menteri diyakini akan mencadangkan agar celup jari dilaksanakan dalam pilihan raya umum akan datang untuk menghalang penyelewengan dalam bentuk undi hantu dan undi berganda. Kesemua ini petanda haji mabrur, selain amalan peribadi yang bertambah baik dengan amalan tahajud, zikrullah dan munajat berterusan,” katanya lagi.
Sumber : TMI

1 ulasan:

1Crony berkata...

Silap tu Tuan Brahim Tuan Man....! Selepas Haj nanti, Najib dan Suaminya Roswah akan bergelar Haji, Haji, Haji (3 x Haji). Maknanya semuanya akan bertambah 3 kali ganda, terutama rasuah, kadar jual hasil negara, kadar menipu rakyat, kadar songlap duit rakyat, kadar membeli belah di Dubai, kadar menghadiri pameran permata dan beg tangan berjenama mewah dan lain-lain lagi. Ini kerana semuanya boleh ditutup dengan gelaran Haji/Hajjah tu. Cuma yang tak boleh ditipu adalah Allah dan Malaikalmaut sahaja...., rakyat dah terbukti boleh ditipu dan dilanyak selama 54 tahun, dah terbukti kan?

Catatan Paling Popular

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...