Translate

Mesti Baca

Jumaat, 18 Mac 2011

Aziz Hilang Kelayakan Jadi Pengerusi SPR, Kenapa ?

Ahmad Lutfi Othman

Gesaan agar dianjurkan segera perhimpunan besar-besaran menuntut pilihan raya bersih, telus  dan adil buat kali kedua tidak boleh dipandang ringan. Ia memang satu keperluan yang cukup mendesak. Persiapan rapi mesti dibuat bagi memastikan demonstrasi raksasa kali ini lebih besar dan meriah berbanding himpunan Bersih, 10 November 2007, yang menyaksikan lebih 50,000 orang berarak ke Istana Negara.

Meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bertukar pengerusi, daripada Abdul Rashid Abdul Rahman kepada Abdul Aziz Yusof (dan juga lupa setiausahanya dulu, Wan Ahmad Wan Omar, yang dikatakan licik mengatur 'komplot' bagi menyukarkan siapa jua saingan BN, kini menjadi timbalan pengerusi), proses pilihan raya di negara kita terus berjalan secara berat sebelah, jauh daripada menyediakan "padang permainan yang sama rata".

Memandangkan pilihan raya umum ke-13 nanti merupakan gelanggang pertarungan "hidup-mati", sudah pasti SPR akan terus diperkudakan dan menjadi perkakas paling efektif untuk BN meraih kemenangan.

Jika pilihan raya kampus, yang langsung tidak memberi kudis buat survival kuasa BN pun dimanipulasi dengan cukup kotor, dengan taktik licik memenangkan kumpulan mahasiswa Aspirasi Pro-Umno, apakah kita begitu daif untuk mengharapkan SPR dibenarkan menjalankan tugas dan fungsinya secara profesional, bagi mengendalikan pilihan raya dengan bebas dan adil?

Imbau sejenak apa yang dilakukan SPR selepas Umno dikejutkan dengan prestasi buruk dalam pilihan raya umum 1999. Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, khususnya di Kedah, dijalankan menurut kehendak strategis Umno-BN. Lokasi pengundi bukan Melayu sengaja dimasukkan ke dalam beberapa kawasan Parlimen yang dikuasai PAS, seperti Kuala Kedah, Pokok Sena dan Jerai, dengan andaian mereka tidak akan menyokong calon PAS dalam PRU 2004.

Lebih buruk, empat negeri majoriti Melayu, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis langsung tidak mendapat tambahan kerusi Parlimen kerana dibimbangi ia hanya akan meningkatkan jumlah wakil rakyat PAS di Dewan Rakyat. Pada 1999, bilangannya meningkat daripada tujuh orang pada 2005 kepada 27. SPR bekerjasama erat dengan Umno yang tersepit ketika itu.

SPR juga didakwa terbabit secara sedar dan aktif dalam memanipulasi senarai daftar pemilih di Terengganu. Pengundi baru didaftarkan dengan jumlah yang luar biasa. Kadarnya langsung tidak selari dengan pertumbuhan penduduk Darul Iman. Dipercayai sejumlah besar "pengundi hantu" diwujudkan, hasil kerjasama bersepadu di antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), selain ramai yang mengundi lebih daripada sekali.  Targetnya semata-mata untuk merampas kembali Terengganu yang dikuasai PAS pada 1999.

Situasi genting buat Umno di antara tahun 1999 dan menjelang pilihan raya 2004 tidaklah sekritikal apa yang bakal dihadapi BN dalam PRU13 nanti. Pada 1999, BN masih mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen dan hanya terlepas dua negeri, sedangkan pada 2008, BN buat pertama kali dinafikan majoriti dua pertiga dan tumbang di lima negeri (enam jika termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur). Realiti BN kini bagai telur di hujung tanduk.

Kalau sekadar bertujuan merampas Terengganu -- negeri yang kaya dengan hasil petroleum itu -- Umno-BN bertungkus-lumus memperalatkan jentera dan kemudahan kerajaan khususnya "SPR serta konco-konco", selain mengamalkan rasuah politik secara berleluasa, maka cuba kita bayangkan apa yang sanggup dilakukannya bagi mempertahankan sisa-sisa kuasa, terutama di peringkat persekutuan? Apakah BN tidak merencanakan taktik dan teknik tertentu (pastinya di luar batas undang-undang) bagi merebut kembali negeri-negeri Pakatan Rakyat?

Misalnya, Selangor, negeri termaju di Malaysia, yang selama ini menjadikan menteri besarnya (di bawah Umno) begitu berpengaruh daripada segi politik dan cukup kaya raya melalui amalan rasuah dan salahguna kuasa. Apakah anda fikir Najib Razak selaku ketua perhubungan Umno dan Noh Omar, timbalannya, hanya sibuk mengatur ceramah untuk diisi Ezam Mohd Noor, bagi menyerang kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan personaliti Anwar Ibrahim?

Beberapa insiden yang sempat dihidu, seperti dirakamkan wartawan Harakah Selangor, Saidah Hairan di pejabat JPN Shah Alam, mengenai proses pendaftaran pemilih warga Sabah untuk "diagih-agihkan" di Selangor, hanya cebisan kecil kisah konspirasi BN-SPR-JPN. Kita belum dapat membongkar grand design lebih besar, yang mungkin tidak terfikir oleh kita tentang modus operandinya, seperti pemimpin PAS tidak pernah menjangka usaha licik Umno Terengganu untuk menumbangkan kerajaan PAS pada 2004.

Beberapa hari lalu, di Paya Jaras, Sg Buloh, dikesan satu lagi komplot dalam usaha BN merampas Selangor, yang dipercayai turut membabitkan JPN. Pendatang tanpa izin, termasuk dari Kemboja dikatakan telah diberikan MyKad dan akan didaftarkan sebagai pengundi untuk kawasan terpilih.

Selain itu, difahamkan beberapa universiti tempatan turut "bersubahat" dengan BN bagi mendaftarkan pelajarnya sebagai pemilih, dengan menyasarkan kawasan tumpuan di Selangor. Jentera BN sedang mengenal pasti kawasan pilihan raya tertentu untuk ditempatkan pengundi baru dari kalangan mahasiswa itu.

Minggu lalu, beberapa pemimpin KeADILan mendedahkan peningkatan mendadak pengundi pos di beberapa kerusi Dun Perak. Angka terbesar dicatatkan di Dun, Pangkor, yang diwakili Menteri Besar. Di Kok Lanas, Kelantan, hampir 500 isteri tentera ditukar status menjadi pengundi pos walaupun mereka tidak pernah memohonnya.

Faktor undi pos sejak sekian lama menjadi penyelamat BN di kawasan tertentu. Dalam tuntutan Bersih pada 2007, dicadangkan sistem pengundian pos dimansuhkan dengan segera kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara.

Ketika wibawa SPR dipersoal secara terbuka, pengerusinya Abdul Aziz Yusof mencetuskan polemik baru. Beliau tidak menolak kemungkinan tempoh kempen pilihan raya negeri Sarawak kurang dari 12 hari seperti dilaksanakan semasa pilihan raya negeri 2006. Utusan Malaysia, 9 Mac, meletakkan tajuk, "Kempen tujuh hari pada pilihan raya di Sarawak?"

Aziz berkata, tempoh kempen terlalu lama dikhuatiri boleh mengundang amalan politik tidak sihat antaranya provokasi yang ditimbulkan oleh parti tertentu. Ujarnya, kempen pilihan raya kecil Dun  Merlimau dan Kerdau selama lapan hari pun sudah cukup mencetuskan kebimbangan dan kekecohan menerusi kemunculan isu pergolakan politik dari Timur Tengah.

"Semasa kempen pilihan raya kecil Sibu, ramai penduduk tempatan melahirkan rasa terkejut dengan cara pendekatan yang dibawa oleh parti-parti pembangkang dari Semenanjung. Di Merlimau dan Kerdau begitu juga apabila sentimen kebangkitan rakyat di Mesir, Tunisia dan Libya dikaitkan dengan suasana negara ini sehingga membangkitkan provokasi dalam kempen. SPR sedang mengkaji semua ini. Kita bimbang jika penduduk Sarawak yang dikenali sebagai orang yang sabar hilang kesabaran dengan provokasi ditekankan ke atas mereka, maka ia mungkin mencetuskan kejadian tidak diingini," kata Aziz.

Mengulas kemungkinan tempoh berkempen dipendekkan di Sarawak, AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu, yang juga tokoh yang sering bercakap tentang amalan demokrasi tempang di Malaysia menegaskan:  "Dengan tempoh kempen sependek itu, apa yang pembangkang boleh buat? Pembangkang sudahlah tidak diberikan ruang bersuara menerusi media kerajaan dan media arus perdana, tidak banyak wang pula. Jadi kesemua itu adalah untuk memberikan keuntungan dan kemenangan kepada Umno BN yang memerintah dengan cara yang cukup jelas dan terang-terangan."

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menganggap respon Aziz   yang mendakwa tempoh kempen terlalu lama boleh mengundang amalan politik tidak sihat dengan mengaitkannya dengan pergolakan politik Timur Tengah sebagai tidak releven.

Katanya, jika diimbas kembali senario Pilihan raya Umum 2008 yang berlangsung selama dua minggu, ia berjalan dengan aman. Tambahnya, ketakutan pihak SPR sengaja diperbesarkan, malah dianggap mempersendakan peranan polis dan pasukan keselamatan yang bertugas siang malam menjaga ketenteraman awam.

Hakikatnya, ujar Ustaz Idris, tempoh kempen pilihan raya singkat sengaja dituntut berikutan rekod kekalahan teruk BN bila mana kempen pilihan raya diadakan dalam tempoh yang panjang. BN Sarawak, tambahnya,  ternyata tidak yakin dengan kemampuan mereka untuk mengekalkan majoriti besar dalam Dun sekiranya kempen pilihan raya diadakan selama dua minggu atau lebih.

Bagi saya, Aziz bukan lagi berbicara sebagai Pengerusi SPR, yang bertanggungjawab memastikan proses pilihan raya adil, bebas dan telus. Beliau seolah-olah sudah menjadi kerabat rapat Taib Mahmud, yang sedang memikirkan jalan untuk mempertahankan kuasa BN di Sarawak. Dalam bahasa kasar, Aziz kini berbicara dengan lidah Umno.

Dalam SMS kepada saya, pensyarah media, Dr Abu Hasan Hasbullah memberi respons: "SPR bukan diktator baru yang menjadi pemerintah bagi negara ini. Kuasa SPR hanya sebagai suruhanjaya yang bekerja menguruskan pilihan raya adil buat rakyat, bukannya senapang Gaddafi yang boleh membuli rakyat sesuka hati. SPR telah menjadi terlalu biadab terhadap demokrasi, perlembagaan dan negara dengan mengambil alih kuasa penentu siapa pemerintah."

Lagi pun, bukankah isu kemudahan perhubungan dan faktor geografi di Sarawak sudah cukup untuk memanjangkan lagi tempoh kempen, sekurang-kurangnya 21 hari seperti dituntut Bersih?

Lebih aneh apabila Aziz cuba mengaitkan dengan corak kempen parti politik di Sibu, yang pastinya ditujukan kepada pembangkang.  Dalam pilihan raya kecil Parlimen itu, DAP berjaya merampas kerusi majoriti pengundi Cina berkenaan daripada BN. Najib (yang aktif turun berkempen menabur pelbagai janji dan "ugutan" di sana) dan Taib memang terkedu dengan kemenangan gemilang Pakatan Rakyat itu. Ia dibimbangi menghasilkan gelombang positif buat pembangkang dalam pilihan raya umum negeri Sarawak yang dijadualkan tidak lama lagi. Rakyat menyaksikan kempen di sana berjalan baik dan aman. Lalu, mengapa Aziz mahu mempermainkan sentimen pengundi Sarawak terhadap "orang Semenanjung"? Bukankah ada taktik BN yang tersembunyi dalam kenyataan Aziz itu?

Mengenai sentimen kebangkitan Timur Tengah, Aziz sepatutnya menyedari bahaya pilihan raya ala Hosni Mubarak yang nampaknya mula menular di sini. Rakyat Mesir dan Tunisia turun ke jalan-jalan raya, berdada dengan pasukan keselamatan dan mempertaruhkan nyawa mereka kerana sudah bosan, muak dan marah dengan proses pilihan raya korup sejak puluhan tahun. Rakyat di Malaysia juga mungkin bangkit "memberontak" jika sistem demokrasi di negara ini turut korup. Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Rakyat sering menegaskan bahawa mereka tetap memilih untuk melakukan perubahan dengan menukar kerajaan melalui peti undi, dalam pilihan raya yang adil dan bebas.

Saya mengingatkan, sepatutnya Aziz menyedari  peruntukan Perkara 114(2) Perlembagaan: "Pada melantik ahli-ahli SPR, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam."

Adakah orang seperti Aziz telah mendapat kepercayaan awam? Sekurang-kurangnya bagi saya, beliau belum menepati kriteria yang dijelaskan oleh peruntukan Perlembagaan itu.
(Sumber)

Tiada ulasan:

Catatan Paling Popular

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...